Mari Bercerita - Payung Teduh


Aku memesan secawan iced caramel macchiato. Dia memesan secawan latte panas. Style orang-orang tua. Aku suka dengan suasana kafe itu pada hari itu. Orang tak terlalu ramai, cuaca tak terlalu panas. Nyaman, seperti di Bandung. Rindu Bandung. Aku sempat menjeling dekorasi kafe itu, di dinding terdapat beberapa lukisan abstrak serta beberapa keping vinyl diletakkan disebuah kabinet kecil. Kata orang, pemilik kafe ini sememangnya seorang yang meminati muzik dan seni, jadi kafe kecilnya di dekorasi dengan hal-hal yang berkaitan dengan muzik dan seni. Jujur, aku kagum. Banyak duit dia.

Aku memandang wajah milik jejaka dihadapan ku. Dia kelihatan tenang sambil bermain telefon bimbit dan tidak memandangku, jadi aku ambil kesempatan untuk merenung wajahnya. Keningnya cantik terukir, matanya tidak terlalu sepet dan tidak pula terlalu besar, hidungnya terletak, sesuai dengan struktur mukanya dan membuatkan wajahnya lebih sempurna. Bibirnya kelihatan sedikit kering, mungkin kerana cuaca yang agak panas sejak kebelakangan ini dan kerana dia merokok. Aku sering kali berjanji kepada diriku untuk tidak menyukai lelaki yang merokok, tapi entah mengapa, aku melihat dia kelihatan sangat cool ketika menyedut nikotin yang boleh mendatangkan ketagihan itu. Sewaktu dia mengangkat wajahnya dan mula memandang aku lalu menguntumkan senyuman kepada aku, serta merta aku juga menghadiahkan dia secebis senyuman. Tuhan, senyumannya berjangkit!

Minuman yang dipesan sudah sampai. Dia mengambil minumanku dan menghulurkannya kepadaku. Aku mengangguk perlahan tanda berterima kasih. Jejaka dihadapan aku ini, yang sedang memakai t-shirt dan seluar jeans berwarna hitam aku kenali di laman media sosial. Kami mempunyai selera muzik yang sama, filem yang sama, serta meminati kelab bola sepak yang sama. Setelah sekian lama berborak hanya melalui Instagram, bertukar pendapat dan idea serta lawak jenaka yang bodoh, aku mula memulakan langkah untuk berjumpa dengannya di alam realiti. Cukuplah dia hanya dikenali sebagai F. Hari itu, kami berbual tentang segalanya—tentang bola, muzik, kenangan silam, tentang kehidupan sekarang, hingga ke isu semasa yang melanda negara dan global.

Sehingga satu saat, kafe ini memasang lagu Payung Teduh – Mari Bercerita. Aku teringat satu ketika kami bercerita tentang ikan paus pada lewat malam. Apa yang aku suka pasal dia, dia selalu meluangkan masa untuk mendengarkan cerita cerita bodoh aku. Aku berkata kepada F, aku suka dia secara keseluruhan. Dia tergelak kecil dan menggelengkan kepala.

“You’re an acquaintance, so act like one” katanya sambil tergelak lagi. Aku tersenyum kelat, cuba menyembunyikan perasaan. Ya tuhan, aku ingin masa berlalu dengan pantas.

Comments

Popular Posts